Saturday, October 24, 2009

Bajet 2010 - Betul untuk kesejahteraan rakyat?

Setiap tahun apabila bajet negara dibentangkan kesemuanya adalah memberi penekanan untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia. Itulah matlamat atau sasarannya apabila setiap bajet dicadangkan oleh kerajaan yang memerintah.

Walau pun pada akhir ayat penutup pembentangan bajet yang dibuat oleh Menteri Kewangan,"Tuan yang diPertua saya ingin MENCADANGKAN," itu hanyalah peraturan dewan sahaja. Sabenarnya apa yang telah dibentangkan itulah yang akan diguna pakai hanya perlu digazetkan sahaja. Itulah senarionya.

Apa yang ingin ditonjolkan disini bukanlah tentang kenapa bidang ini patut diberi dan bidang ini patut dikurangkan. Itu adalah hak kerajaan menentukan apa yang terbaik. Tetapi yang amat memushkilkan adalah agihan dana dana atau peruntukan tersebut agar sampai kepada sasarannya dengan sempurna dan telus.

Saperti pendedahan Ketua Audit Negara baru baru ini tentang pengurusan yang tidak cekap atau yang mencurigakan. Perlakuan seumpama inilah yang akhirnya akan merugikan rakyat, dimana kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk mencapai objektifnya dan mensejahterakan sasarannya.

Kita semua maklum bahawa kewangan negara sekarang dalam defisit, malah peruntukan bajet 2010 pun kurang sebanyak 11.2 peratus dibandingkan dengan bajet 2009. Itu kita boleh faham dengan permasaalahan ekonomi global tetapi yang kita tak fahamnya perlakuan tidak beramanah masih tidak dapat dibendung.

Dulu Mr.Clean menerajui, tidak clean pun. Oleh itu adalah diharapkan Perdana Menteri baru ini,sementara masih putih kainnya sebagai perdana menteri(kata kata beliau semasa perbetangan bajet) ambillah tindakan tegas dan syor saya jika ada peruntukan undang undang kalau belum cepat cepatlah gubal satu undang undang memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri menauditkan wakil rakyat,pegawai tinggi kerajaan dan kaki tangan awam serta mereka mereka yang hidup terlalu mewah yang disyaki "live beyond their means." Percayalah sekadar mengharapkan mereka ini mengistiharkan harta dengan sukarela, tidak ada apa yang boleh dijumpai. Tidak ada manusia menggali lubang kubur mereka sendiri.

Akta "whistleblower" ini adalah satu pendekatan yang baik untuk kekebalan saksi, saya syorkan akta ini juga dipanjangkan untuk anonymous informer yang boleh memberi maklumat yang menjustifikasikan siasatan dibuat dan pihak berwajip patut bertindak atas "first information report" dan tidak payah menunggu direct report. Ini telah pun diperuntukan oleh undang undang jadi tidak perlu menunggu asalkan sasaran sudah ada untuk membolehkan siasatan dimulakan.

Harap harap lapuran Ketua Audit Negara sekali lagi kepincangan sebegini tidak dibaca lagi.

Friday, October 23, 2009

Makan sorok sorok, bila muntah bertabur taburan.

Apa pun yang dilaksanakan dan betapa baik dan adil (dalam kemampuan manusia) sekali pun memang ada kelemahan sebab kita adalah manusia. Adalah satu hakikat manusia ini tak sunyi dari berbagai kelemahan.

Tetapi harus diingat, manusia dikurniakan satu rahmat oleh Allah SWT iaitu akal. Akal inilah menjadikan manusia itu melebihi dari makhluk Allah yang lain. Malangnya muthakhir ini akal telah banyak dicemarkan oleh nafsu yang melonjak.

Saya bersimpati dengan Perdana Menteri kita yang tidak putus putus membaik pulih imej kerajaan Barisan Nasional tapi masih ada lagi tulang tulang belakang kerajaan atau jentera jentera kerajaan yang bersikap saperti gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut.

Menuruti lapuran Ketua Audit Negara keatas kelemahan menggurus peruntukan kerajaan bukanlah perkara baru. Setiap tahun ada saja kepincangan ditimbulkan dan memang tidak dapat dinafikan bahawa ada pembelian oleh agensi agensi kerajaan yang tidak masuk akal langsung. Mereka telah lupa bahawa yang hak itu tetap hak dan yang bathil itu tetap bathil.

Kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau kecewa dan memandang serious akan perlakuan yang tak beramanah ini dan akan mengambil tindakan jika terbukti ada penyelewengan. Ini sangatlah ditunggu tunggukan dan harap janganlah sejukan tindakan ini sehingga saki baki dinyahkan.

Perlu diingat petualang petualang inilah yang memberi imej yang negatif pada negara, kerajaan dan penjawat awam. Perbuatan mereka inilah jugalah akan membuka jalan kepada pembangkang untuk mengelirukan rakyat. Untuk apa simpan orang orang saperti ini. Perdana Menteri harus berani walau apa pun kedudukan mereka atau apa pun budi yang telah diterima. Mereka inilah sabenarnya duri dalam daging dan talam dua muka. Mereka inilah disifatkan jerat yang tak akan lupakan pelanduk dan sentiasa mencari mangsa. Bertindaklah dan buktikan perubahan yang sabenar.

Disarankan publisiti dibuat atas tindakan yang murni dan tidak selektif.

Saturday, October 17, 2009

Bila hendak berdayung? Perahu dan dayung sudah ada!

Selesailah sudah perhimpunan Agung UMNO 2009 dan sekali gus menjadi sidang khas pembentangan pindaan perlembagaan UMNO. Pindaan pun telah mendapat sokongan hanya kelulusan Pendaftar Pertubuhan yang dinantikan.

Namun apa yang menjadi tanda tanya, kenapa semangat perubahan yang disemaikan semasa persidangan tersebut masih diragukan? Apa ini akan juga dikategorikan sebagai retorik selepas seketika atau cakap tak serupa bikin?

Inilah cabaran yang WAJIB disahut oleh semua lapisan ahli UMNO yang sayang kepada parti ini. Kesemua ahli ahli UMNO perlu ikhlas sebagai ahli yang komited dan membuktikan bahawa keahlian mereka bukanlah sebagai ahli opportunis. Persepsi negatif yang selama ini disemaikan oleh pihak pihak yang ingin menghancurkan UMNO WAJIB dibersihkan dan ahli yang opportunis MESTI disingkirkan tak kira siapa dia atau apa kedudukannya.

Inilah cabaran sebenar yang tersirat disebalik pindaan yang telah dibentangkan. Oleh itu beranikah tindakan seumpama ini direalisasikan oleh ahli ahli yang bertanggung jawab agar pindaan pindaan ini tidak dipersendakan dan UMNO dimalukan.

Jika tindakan ahli ahli UMNO masih bertindak dalam "hesitations" atau acuh tak acuh bukan sahaja UMNO akan kecundang malah maruah sebilangan besar umat melayu juga akan turut tenggelam. Pada ketika ini menanggis air mata darah sekali pun tidak ada gunanya lagi.

Kecenderungan politik persepsi yang semakin mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia harus dititik beratkan kerana, walaupun satu kesilapan padahnya atau impaknya amatlah berat untuk diperbetulkan. Belajarlah dari kekalahan PRU 12 dan di semua PRK kecuali Batang Ai dan Bagan Pinang. Janganlah terlalu ghairah dan terbuai dengan keasyikan dua buah lagu yang berjaya dicipta sedangkan orang lain telah berjaya mencipta tujuh buah lagu yang disukai ramai.

Oleh yang demikian pada kesemua ahli ahli UMNO jika sayangkan parti dan maruah bangsa , janganlah mudah dibuai oleh dendangan yang menghayalkan sehingga menjadi alpa akan tanggungjawab yang diamanahkan. Selamat berubah dan jangan mudah merajuk atau kecewa jika apa yang dicita citakan tak kesampaian walau pun telah banyak berbakti.

Wednesday, October 14, 2009

UMNO - AGM 2009 Perlukah rukun lagi.

Islam sudah mempunyai 2 jenis rukun,iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Apakah rukun rukun yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak yang maha mengetahui tidak mencakupi kehendak kehendak 4 rukun yang disarankan oleh Timbalan Presiden UMNO?

Sabenarnya kita tidak perlu pada rukun rukun tambahan lagi, apa yang kita perlukankan adalah penghayatan kepada kedua kedua rukun Islam dan Iman tadi. Malangnya tiada penekanan serta peringatan ditumpukan dan apa yang diperhatikan saperti kata perpatah,"sekali air bah sekali pasir berubah."

Sepatutnya kedua dua rukun Islam dan Iman itu dihuraikan dengan lebih jelas dan mudahkan lagi penghayatannya untuk yang beragama Islam dan mudahkan untuk yang belum Islam memahaminya. Itu yang sepatutnya dilaksanakan oleh para pemimpin dan cerdik pandai dinegara ini. Bukan asyik mencari slogan dan cogan kata baru dengan tujuan memberi imej kelainanan dari yang terdahulu. Ini tidak akan memberi kesan yang baik berterusan dan akan hanya hidup pada ketika pemerintahan pemimpin yang berkenaan.

Rukun yang berkekalan dan universal hanyalah Rukun Islam dan Rukun Iman, jadi apa salahnya ini yang ditekankan walau pun dengan cara berlainan asalkan tidak lari dari objektifnya. Sekarang pun kita dapati ahli ahli politik yang bukan Islam pun dah berani menggunakan ayat ayat suci Al-Quran walau pun tidak beriman pada kalam Allah. Sebab mereka sedar hanya firman Allah itu sahaja yang benar dan munasabah dan kesempatan ini dieksploitasikan bagi menggaburkan niat sabenar mereka.

Kita harus jangan lupa dalam ramainya kita ini, terdapat juga yang munafiq dan fasiq oleh yang demikian janganlah kita mudah lagi tertipu. Marilah kita bezakan menggubah sikap dan menggubah sikap dengan keimanan. Carilah perbezaannya. Banyak telah diperkatakan kemiskinan boleh mendorong kepada kekufuran apakah kekayaan tidak boleh mendorong kepada kekufuran?

Sunday, October 11, 2009

Barisan Nasional Menang - Apa Yang Dapat DiPelajari ?

Pertama saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT atas kejayaan BN mempertahankan kerusi DUN N31 Bagan Pinang. Kesyukuran ini adalah atas keinsafan bahawa masih ada yang sayang dan memahami perjuangan Barisan Nasional yang diasakan oleh para pemimpin yang terdahulu, Alhamdulillah.

Selain dari kenyataan bahawa DUN Bagan Pinang adalah kubu kuat Barisan Nasional dan UMNO khasnya, sepekaralagi yang boleh diperkatakan bahawa Barisan Nasional masih mendapat sokongkan pasukan keselamatan, keduanya penyokong Barisan Nasional di Bagan Pinang masing lagi setia dan yang ketiga pencalunan Tan Sri Isa Abdul Samad telah menyumbang kepada penyatuan penyokong penyokong setempat.

Apa yang boleh Barisan Nasional dan para pemimpin Barisan Nasional pelajari dari PRK Dun Bagan Pinang?
  1. Pemilihan calun hendaklah yang dipilih oleh rakyat setempat.
  2. Kesalahan politik wang oleh Tan Sri Isa, adakah "beyond reasonable doubts" atau beliau hanya "victim of circumstances?"
  3. Seorang calun itu hendaklah disukai rakyat dan penyokong bukan sekadar disukai pemimpin atasan.
  4. Pemimpin tidaklah berkuasa seluruhnya, suara akar umbi dan rakyat harus diutamakan.
  5. Parti memang memainkan peranan tetapi kepentingan calun janganlah diperkecilkan. Kalau seseorang calun itu diterima walau apapun dakwaan negatif dilemparkan,beliau akan dimaafkan.
  6. Adalah diharapkan bahawa kesilapan pemimpin yang menerajui sebelum ini dijadikan ikhtibar dan kesedaran serta keinsafan harus sentiasa pada ingatan ahli Barisan Nasional bahawa satu satu kesilapan itu bukanlah mudah dipulihkan.
  7. Amat sukar untuk medapat sesuatu kepercayaan tetapi amat amatlah senang untuk kehilangannya.
Oleh itu adalah diharapkan Barisan Nasional janganlah "live in history" sebab baru satu kemenangan dan tujuh kecundangan. Insaflah!

Wednesday, September 30, 2009

DUN Bagan Pinang - ISA masih terbaik !

Tan Sri Isa Samad akhirnya dipilih juga oleh kepimpinan Barisan Nasional untuk PRK DUN Bagan Pinang. Banyak telah diperdebatkan keatas pemilihan ini ada ayang sokong, ada yang menentang dan tak kurang juga yang saperti lallang. Itulah resam sikap manusia yang mempunyai objektif yang tersendiri.

Walaupun DUN Bagan Pinang ini dikatakan kubu kuat Barisan Nasional tetapi dengan gelombang perubahan politik tanah air semasa, apa pun boleh berlaku.

Kenapa Isa masih menjadi pilihan? Isa pernah menjawat jawatan Mentri Besar Negeri Sembilan dalam satu tempoh yang lama ( lebih kurang 22 tahun ) dan sudah mesti dalam tempoh sedemikian memang amat mustahil jika beliau tidak menyumbang kepada kesejahteraan penduduk setempat. Kedua, Ketokohannya masih terserlah dan senang didekati dan dibawa berunding. Ketiga, beliau mendapat sokongan padu dari bahagian UMNO Telok Kemang. Keempat adalah sikap beliau sendiri,walau pun disisih dalam tempoh tiga tahun tetap setia dan patuh kepada UMNO dan tidak bertindak saperti segelintir pemimpin UMNO yang melompat dan melatah apabila tak terpilih dan bersikap saperti gila talak. Itulah Isa Samad.

Jika isu politik wang hendak dipertikaikan, pertama sekali beliau sudah pun menjalani hukuman yang dikenakan. Sebagai insan yang serba lemah kita sepatutnya menerima hakikat yang salah tetap salah tetapi yang salah itu ada juga kebaikannya. Disini mungkin kebaikan Isa melebihi kesalahanya atau Allah S.W.T masih sayangkan beliau dengan masih membuka pintu rezeki kepada beliau sebagai ujian sama ada beliau sudah bertaubat atau masih BERTAUBUAT.

Jika difikir fikir adalah lebih baik harapan diberi pada yang dikenali dari yang bersikap air tenang tetapi beribu buaya didalamnya. Apa pun setiap individu mempunyai persepsi berbagai oleh yang demikian janganlah tersalah pilih sehingga maruah agama, bangsa digadaikan. Bagi Tan Sri Isa telitilah borang pencalunan dengan betul nanti ditolak pula semasa penamaan calun. Pintu taubat masih diterima Allah sehingga waktu sakarul maut.

Friday, September 25, 2009

DUN Bagan Pinang - Luah mati mak, Telan mati bapa

Pencalonan wakil dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semakin dekat dan sudah semestinya pucuk pimpinan parti parti bertanding semakin serabut siapa yang paling layak dipilih. Kemungkinan besar bagi pihak Pakatan Rakyat kekalutan ini taklah serumit Barisan Nasional.

Apa Pakatan Rakyat tidak minat untuk menang atau sudah mempunyai "advantage" dengan kemelut Barisan Nasional memilih calun yang saperti "luah mati mak,telan mati bapa."

Apakah agaknya yang sedang bermain main dikepala kepimpinan Barisan Nasional yang terpaksa menarik keluar rambut dalam tepung tetapi dalam masa yang sama mempastikan tepung tak berselerak?

Kenapa masih ada yang sayang pada Tan Sri Isa Samad, kenapa masih ada yang yakin serta menyokongnya. Adakah kebaikannya melebihi kecacatannya atau sudahkah ketandusan pemimpin yang berwibawa di- bahagian Teluk Kemang. Kenapa begitu rupa penghormatan masih diberi kepada Ketua Bahagian tersebut?

Adakah dakwaan politik wang yang dikenakan keatas pemimpin tersebut itu begitu kukuh? Jika benar kenapa masih diberi kepercayaan oleh UMNO bahagian tersebut? Adakah ahli ahli Telok Kemang tiada nilai pertimbangan dan menyokong membuta tuli atau beliau hanya menjadi "victim of circumstances" oleh kepimpinan tertinggi UMNO ketika itu dalam keghairahan membersihkan UMNO dari politik wang dan cuba menunjukan tidak memilih bulu?

Inilah salah satu kelemahan UMNO yang hanya bersikap reaktif pada sentimen yang mendesak dan dalam masa kelam kabut ini dan untuk menunjukan ketegasan, tindakan yang diambil tidak menyeluruh dan mencetuskan bibit perpecahan dan berpuak puak. Bilakah UMNO akan benar benar berubah dan sentiasa pro-aktif keatas isu isu yang boleh mencemarkan integriti UMNO dan tidak payah tunggu sehingga sesuatu isu itu menjadi besar dan memalukan.

Beranilah untuk berubah demi agama,bangsa dan seterusnya negara.