Masih ada yang nak menunjuk nunjuk ketaatan kepada ketua dan bercakap dengan alasan berkepentingan. Dulu Islam Hadhari lama kelamaan dah pun lari, sekarang 1Malaysia agak agaknya semua usaha akan berkesudahan dengan sia sia saja. Maklumlah sekali air bah sekali pasir berubah! Sebabnya pemimpin lain pula akan mencetuskan konsep lain pula. Macam Tun Dol, cuba mengubah apa yang Tun Dr. Mahathir lancarkan yang tak sempat disempurnakan.
Mari kita lihat kata kata Menteri pintu belakang Tan Sri Koh Soo Khoon,"We are Malaysian first" berita penuh We are Malaysian first, says Koh yang menyokong Menteri Parlimen, Datuk Nazri Aziz. Kalau difahami menurut fahaman mereka "Malaysian first" ini lebih kurang "Malaysian Malaysia" dan bangsa keturunan tidak penting lagi. Adakah ini selari dengan gagasan 1Malaysia yang kononnya berpandu kepada Perlembagaan Negara yang sedia ada?
Untuk kali ini mari kita tumpukan kepada maksud "Bangsa"."Bangsa" secara kefahaman umum adalah- "jenis manusia dari asal keturunan dan adat resam yang sama". Bolehkah "Bangsa Malaysia" diguna pakai? Boleh dengan syarat, untuk mengguna pakai istilah "bangsa malaysia" perlu ada penghayatan yang mendalam dan bukan sahaja dilihat tetapi dirasai saperti satu rumpun. Sama seperti dalam pertandingan sukan disekolah, tak kira siapa kita, janji pasukan yang diwakili cuba menang. Adakah kita dengan kata sebenar benar memiliki semangat demikian atau hanya cakap cakap politik.
Untuk menghayati sebagai "bangsa malaysia" setiap individu yang memiliki kewarganegaraan Malaysia harus menjadi satu kumpulan manusia didalam satu ikatan ketatanegaraan. Apa itu ketatanegaraan? Ketatanegaraan adalah yang berhubong kait dengan susunan dan bentuk pemerintahan yakni undang undang mengenai susunan dan peraturan negara. Ibu kepada segala undang undang dan peraturan adalah Perlembagaan Malaysia. Adakah semua yang mengaku rakyat Malaysia betul betul patuh? Tepuk dada tanya selera.
Walau pun semua rakyat diberi kebebasan menggunakan bahasa ibunda dan beragama atas pilihan sendiri tetapi kenapa Bahasa Melayu menjadi bahasa resmi negara. Disini tak perlulah disentuh tentang agama resmi negara ini memandangkan isu agama terlalu sensitif. Kita hanya sentuh tentang bahasa dan kecintaan kita kepada negara.
Malaysia telah pun merdeka mencecah 54 tahun. Tetapi sampai kini masih ada yang belum boleh bertutur dalam bahasa melayu walau pun sekadar "bahasa pasar". Disekolah sekolah, Bahasa Melayu dipelajari adalah sebab menjadi syarat lulus dalam peperiksaan lepas itu apa jadi? Dahlah itu, kaum kaum lain masih mempertahankan bahasa ibunda mereka. Bagaimana dapat kita serapkan "Bahasa Jiwa Bangsa". Adakah menguasai satu bahasa yang telah ditetapkan dalam perlembagaan membuat kaum kaum lain sebagai "second class" atau pun menggunakan bahasa melayu "tidak ada class". Tapi mengaku cintakan Malaysia?
Bertambah malang apabila dalam upacara resmi pemimpin pemimpin melayu sendiri berucap dan membuat liputan akhbar dalam bahasa Inggeris dan ada yang tak pernah didengari bertutur dalam bahasa resmi negara. Memang tidak dinafikan mempelbagaikan bahasa adalah menguntungkan, tetapi demi perpaduan negara rakyat Malaysia harus menjiwai satu bahasa dan kebolehan menguasai bahasa bahasa lain patut digunakan pada forum yang tertentu sahaja.
Lihat sendiri diperhimpunan PBB yang sedang berlansung sekarang,Presiden Iran, Presiden Cina, Presiden Palestine dan banyak lagi ketua ketua negara lain mengunakan bahasa resmi mereka. Kenapa para pemimpin kita menghadapi kesukaran berbuat demikian? Tak kah sikap begini yang sebenarnya menyumbang ancaman kepada perpaduan? Inikah 1Malaysia seperti fahaman Koh Soo Khoon dan Nazri Aziz? Penyerapan penggunaan satu bahasa pun tak terdaya, kemudian menyoal pula adakah salah jika tak menggunakan bahasa resmi.Secara teknikal memang salah sebab telah digariskan dalam perlembagaan bahawa selepas 10 tahun merdeka sepatutnya bahasa bahasa penjajah tidak boleh lagi diguna pakai dalam hal hal resmi. Keangkuhan dan keengganan menggunakan bahasa resmi dalam hal hal resmi inilah yang menimbulkan satu sentimen oleh setengah setengah pihak. Renung renunglah.
Betul ke kaum kaum lain bersama sama juga cintakan negara? Tetapi dilihat dalam pasukan pasukan keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan negara lebih sembilan puluh peratus dari kaum melayu. Kalau kaum kaum lain mempertahankan, bahawa mereka menyumbangkan melalui ekonomi, soal saya selagi lagi bolehkah ekonomi berkembang kalau negara huru hara?
Sebenarnya usaha mencapai perpaduan antara kaum dan memajukan Malaysia telah lama diusahakan terutama sekali selepas peristiwa 13 Mei 1969. Itu sebab lagu lagu "Barisan Kita", "Malaysia Berjaya", "Bahasa Jiwa Bangsa", "Muhibah" dan banyak lagi cuba disemaikan. Malangnya dek mengejar kemajuan dan pembangunan dan percaturan politik merebut kuasa serta rasuah pelbagai aspek maka terlupa akan perpaduan rakyat yang sebenarnya menjadi kunci utama kepada kemajuan,kesejahteraan negara. Inilah dikatakan "sudah terantuk baru nak tengadah".
Setakat ini dulu, pandangan saya dan berharap Perdana Menteri permudahkan lagi maksud sebenar apa itu 1Malaysia dan sasarannya agar difahami oleh semua lapisan masyarakat Malaysia agar 1Malaysia tak dimanipulasikan oleh orang orang yang mengambil kesempatan dengan pengertian mereka dan akhirnya menjadi nasib gagasan yang terdahulu.
No comments:
Post a Comment