Tuesday, September 9, 2008

Larangan Azan dan Kemusnahan Melayu - Salah Siapa ???

Assalamua'laikum dan salam sejahtera.

Dalam sembang sembang, terbaca tentang komen DS Khir (bekas MB) tentang kenyataan beliau ada pihak cuba melarang Azan dimasjid dan surau di-Selangor dan detik kemusnahan Islam dan Melayu oleh Datuk Ibrahim Ali yang dipetik dari akhbar Utusan Melayu keluaran 9/9/2008.


"Ada usaha larang azan di masjid-masjid Selangor

SHAH ALAM 8 Sept. - Kerajaan campuran negeri Selangor diingatkan agar bersikap tegas dengan tidak melayan mana-mana pihak mendesak yang mahukan azan solat di surau dan masjid di negeri itu tidak lagi menggunakan pembesar suara.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (gambar) membuat desakan ekoran ada usaha pihak yang dipercayai didalangi salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri itu, membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara.

''Bagi UMNO, kita mahukan kerajaan negeri bertegas, jangan mudah mengalah kerana apa yang kelihatan ketika ini PKR (Parti Keadilan Rakyat) seolah-olah mengalah membiarkan sahaja perkara itu berlaku, manakala Pas pula tidak memainkan peranan.

''Ini sesuatu yang menghina Islam sedangkan Islam adalah agama rasmi, mempunyai peruntukan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan untuk pembangunan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas beberapa laporan mendakwa azan di Masjid Seksyen 5, Kota Damansara yang baru siap dan digunakan menjelang Ramadan lalu, tidak menggunakan pembesar suara dipercayai mempunyai kaitan dengan bantahan penduduk kawasan berkenaan.

Selain itu, katanya, usaha menyediakan petisyen membantah azan seperti itu juga pernah dilakukan sekumpulan penduduk di Puchong sejak Mei lalu.

''Di Puchong dan Kota Damansara, ada pihak mahu azan di kawasan itu dihentikan atas alasan menganggu penduduk.

''Tetapi saya percaya kalau penduduk yang membuat petisyen itu, mesti ada pihak-pihak yang mendorong mereka untuk berbuat demikian.

''Sedangkan kita mengamalkan kebebasan beragama, apabila ada penganut agama tertentu meraikan perayaan mereka sehingga membawa kepada penutupan jalan, orang Islam tidak membantah,'' ujar beliau."

"Detik kemusnahan melayu - Ibrahim Ali

KOTA BHARU 8 Sept. - Hasrat pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini hanya gimik politik dan perang saraf semata-mata.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan usaha untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat itu hanya berasaskan impian kosong pemimpin pakatan yang tidak akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, jika perubahan kerajaan benar-benar berlaku pada tarikh tersebut, ia sebenarnya satu detik kemusnahan Islam dan Melayu di negara ini.

"Sekarang BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen Islam seramai 89 orang dan bukan Islam 51 orang. Pakatan Rakyat (PR) pula mempunyai 82 kerusi dengan 43 Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam 39 orang.

"Katakanlah 30 Ahli Parlimen BN melompat dan kesemua bukan Islam, maka kerusi Ahli Parlimen Islam PR masih sama tetapi jumlah bukan Islam akan meningkat kepada 69 orang.

"Jika inilah yang dikatakan kerajaan PR yang dikehendaki, maka dia akan memusnahkan Islam dan Melayu, apa pun ia hanya impian kosong pakatan pembangkang ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini.

Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas pada pilihan raya umum lalu, berkata, ketidakstabilan jumlah Ahli Parlimen beragama Islam dalam kerajaan akan menyebabkan hak keistimewaan seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan akan terhakis.

"Berdasarkan jumlah ini, mereka akan mendesak supaya hak sama rata di antara semua kaum biarpun dalam Perlembagaan dengan jelas menyatakan hak keistimewaan Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu tidak boleh diusik.

"Perkara ini pasti akan berlaku kerana pada masa sekarang di saat kerajaan BN lemah mereka telah mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak munasabah," katanya."

Artikel artikel diatas dimuatkan sekali oleh penulis sebab ada hubongkait antaranya.

Persoalannya, jika apa yang dinyatkan diatas adalah hakikat:-

1. Siapa yang bertanggung jawab?
2. Siapa yang salah?
3. Kenapa perkara ini berlaku?
4. Apa yang sepatutnya dilakukan?

Luahkan-lah secara ikhlas punca punca yang amat memalukan ini, sebelum Malaysia ini hanya pada Perlembagaan sahaja dianggap Islam agama resmi dan tidak pada hakikatnya. Marilah kita renungkan.

Wassalam

No comments: